TOYOTA GAZOO Racing (TGR) memperkenalkan dua model paling serius dalam barisan mereka, iaitu GR GT dan GR GT3, masing-masing sebuah road-legal race car serta sebuah kereta perlumbaan GT3 FIA-spec untuk pelanggan. Kedua-duanya masih dalam fasa prototaip tetapi ini kali pertama ia dipertontonkan kepada umum.

Model ini dibangunkan berdasarkan tiga elemen utama:

  1. Pusat graviti yang rendah
  2. Berat minimum dengan kekakuan struktur yang tinggi
  3. Aerodinamik yang dibentuk mengikut keperluan prestasi

Kedua-dua model ini juga dirangka sebagai penerus warisan Toyota 2000GT dan Lexus LFA, sambil menerapkan falsafah TGR dalam menghasilkan kereta yang dilahirkan daripada pengalaman sebenar perlumbaan.

 

GR GT – Road-Legal Race Car Baharu Toyota

GR GT dibangunkan dengan pendekatan “driver-first” di bawah pengawasan Master Driver Morizo (Akio Toyoda) bersama pemandu profesional dan jurutera TGR.

Ciri utama GR GT:

  • Enjin 4.0L V8 twin-turbo baharu dipadankan dengan sistem hibrid motor tunggal
  • Sasaran kuasa: lebih 650 PS
  • Sasaran tork: lebih 850 Nm
  • Kelajuan maksimum: melebihi 320 km/j
  • Berat sasaran: bawah 1,750 kg
  • Transaxle 8-kelajuan baharu
  • Agihan berat 45:55 untuk kestabilan optimum

Rangka Aluminium Penuh Pertama Toyota

GR GT menggunakan rangka badan aluminium sepenuhnya, digabungkan dengan panel CFRP dan plastik ringan untuk mencapai ketegaran tinggi dengan berat minimum. Ini merupakan aplikasi pertama rangka aluminium sepenuhnya dalam model Toyota.

Proses Rekaan Aero-First

Perincian aerodinamik ditentukan terlebih dahulu sebelum reka bentuk luaran dimuktamadkan. Ini membolehkan GR GT dibangunkan sebagai kereta dengan kecekapan aero dan sistem penyejukan pada tahap kereta perlumbaan sebenar.

 

GR GT3 – Kereta Perlumbaan FIA GT3 Berasaskan GR GT

GR GT3 dibangunkan sebagai kereta perlumbaan GT3 sebenar yang boleh digunakan oleh pasukan profesional mahupun gentleman driver.

Ciri utama GR GT3:

  • Menggunakan platform GR GT yang dioptimumkan untuk regulasi FIA
  • Enjin 4.0L V8 twin-turbo
  • Reka bentuk aerodinamik dan casis disesuaikan untuk keperluan perlumbaan penuh
  • Dibangunkan untuk menang perlumbaan GT3 dan mesra digunakan oleh pelanggan
  • TGR sedang membangunkan sistem sokongan perlumbaan pelanggan untuk model ini

 

Teknologi Utama Yang Diterapkan

Enjin V8 Twin-Turbo Baharu

Enjin 4.0 liter ini dibangunkan dengan konsep saiz kompak dan pusat graviti rendah. Konfigurasi “hot-V”, sistem dry-sump dan penggunaan oil pan nipis membantu merendahkan kedudukan enjin untuk kestabilan lebih baik. Powertrain ini juga direka untuk mematuhi piawaian emisi yang semakin ketat.

Ujian Dunia Sebenar dan Simulasi

Pembangunan GR GT dan GR GT3 melibatkan penggunaan simulator perlumbaan, ujian sistem powertrain sepenuhnya dan ujian litar di Fuji Speedway, Nürburgring serta Toyota Technical Center Shimoyama. Model GR GT turut diuji di jalan raya biasa untuk memastikan ia praktikal digunakan setiap hari.

Bunyi V8 Yang Dibangunkan Secara Akustik

Sistem ekzos direka khusus untuk menghasilkan bunyi yang selaras dengan keadaan enjin, memberikan karakter bunyi V8 yang kuat dan responsif dari pecutan hingga perlahan.

Rangka Aluminium dan Suspensi Double-Wishbone

Rangka aluminium sepenuhnya disokong oleh komponen cast aluminium besar, extrusions dan kaedah penyambungan canggih. Suspensi double-wishbone depan dan belakang direka rendah dengan tumpuan pada respons linear dan kawalan maksimum. Model ini menggunakan brek karbon seramik Brembo dan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang dibangunkan khusus.

 

Spesifikasi Utama GR GT (Prototaip)

  • Enjin: 4.0L V8 twin-turbo + hibrid
  • Kuasa: 650 PS atau lebih
  • Tork: 850 Nm atau lebih
  • Kelajuan maksimum: 320 km/j atau lebih
  • Berat: bawah 1,750 kg
  • Penghantaran kuasa: RWD
  • Transmisi: Automatik 8-kelajuan baharu
  • Suspensi: Double-wishbone depan dan belakang
  • Brek: Karbon seramik
  • Tayar: 265/35ZR20 (depan), 325/30ZR20 (belakang)

 

Spesifikasi Utama GR GT3 (Prototaip)

  • Enjin: 4.0L V8 twin-turbo
  • Penghantaran kuasa: RWD
  • Dimensi badan dan aero mengikut regulasi FIA GT3

 

Jangkaan Pelancaran

Toyota menyasarkan pelancaran GR GT dan GR GT3 sekitar tahun 2027 selepas melengkapkan fasa pembangunan dan ujian global.