Sewaktu acara Lambretta Chillax di Dusun Bonda, aku berpeluang menunggang uji dua model daripada Thunder Motorcycle, iaitu Thunder 250 Hardtail dan Thunder 250 Softail. Kedua-duanya tampil sebagai motosikal bobber klasik yang menekankan gaya custom dan karakter tunggangan, sesuai untuk penunggang yang mahukan pengalaman berbeza daripada motosikal arus perdana.
Kedua-dua varian Thunder 250 ini dikuasakan oleh enjin V-Twin 249 cc, menghasilkan 17 hp pada 8,000 rpm dan 19 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini menggunakan sistem EFI dan dilengkapi electric starter, dengan kuasa dihantar ke roda belakang melalui transmisi lima kelajuan serta pacuan rantai. Dari segi karakter, enjin ini lebih fokus kepada tunggangan santai dan cruising, dengan penekanan kepada bunyi serta feel V-Twin yang menjadi identiti motosikal bobber.
Perbezaan paling ketara antara model Thunder 250 Hardtail dan Softail terletak pada bahagian suspensi belakang. Versi Hardtail tidak menggunakan sebarang suspensi belakang, menghasilkan rasa tunggangan yang lebih langsung dan autentik, seakan motosikal custom old-school sebenar, di mana maklum balas permukaan jalan dapat dirasai dengan lebih jelas oleh penunggang. Sebaliknya, versi Softail dilengkapi suspensi belakang tersembunyi yang menawarkan sedikit tahap keselesaan tambahan tanpa mengorbankan siluet bobber klasik.
Untuk suspensi hadapan, kedua-dua model Thunder 250 ini menggunakan springer front fork, satu komponen ikonik dalam dunia motosikal custom yang bukan sahaja menonjol dari segi visual, malah menyumbang kepada karakter tunggangan yang unik dan berbeza daripada fork konvensional.
Dari segi kemasan, Thunder 250 jelas mengikut falsafah motosikal custom. Ia dihiasi dengan penggunaan krom, komponen logam terdedah dan kemasan cat bergaya airbrush yang memberikan aura buatan tangan. Instrumentasi pula diringkaskan kepada satu meter analog, manakala ciri kemudahan tunggangan moden diminimumkan bagi mengekalkan intipati sebuah motosikal custom sebenar.
Sistem membrek menggunakan cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang, lengkap dengan ABS dua saluran. Ketinggian tempat duduk berada pada 650 mm, menjadikannya mudah dikendalikan oleh pelbagai ketinggian penunggang. Berat motosikal disenaraikan pada 181 kg, termasuk 7 liter bahan api dalam tangki.
Secara keseluruhan, Thunder 250 Hardtail dan Softail bukan dicipta untuk mengejar prestasi maksimum atau teknologi canggih, sebaliknya menawarkan gaya hidup, karakter dan pengalaman tunggangan klasik. Ia adalah motosikal yang menekankan ekspresi diri, ringkas dari segi fungsi, namun kuat dari segi identiti visual dan rasa tunggangan.