Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. mengumumkan pelaksanaan Program Panggil Balik (Recall) secara proaktif bagi model QJMOTOR AX200S, susulan laporan isu teknikal melibatkan komponen pemasangan peredam bunyi (muffler).
Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Mforce dan QJMOTOR dalam memastikan tahap keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan produk berada pada standard tertinggi, selari dengan jangkaan penunggang tempatan.
Menurut kenyataan rasmi, pihak Mforce kini sedang dalam proses menyediakan alat ganti yang telah dinaik taraf bagi menggantikan komponen terlibat. Proses ini bertujuan memastikan isu berkenaan dapat ditangani secara menyeluruh sebelum motosikal kembali digunakan seperti biasa
Semua pemilik QJMOTOR AX200S akan dihubungi oleh pengedar sah Mforce sebaik sahaja program panggil balik ini bermula. Penunggang dinasihatkan untuk memberi kerjasama penuh dan mengikuti arahan yang akan dimaklumkan bagi memastikan proses pemeriksaan serta penggantian berjalan lancar.
Mforce turut merakamkan permohonan maaf atas sebarang kesulitan yang timbul, sambil mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap jenama QJMOTOR. Perkembangan lanjut berkaitan program ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi dan media sosial rasmi Mforce.
Sebagai makluman, QJMOTOR merupakan jenama motosikal global di bawah Kumpulan Geely, dengan kepakaran lebih tiga dekad dalam pembangunan dan pembuatan motosikal, termasuk model berkapasiti tinggi yang dipasarkan di lebih 130 negara. Di Malaysia, QJMOTOR berada di bawah pengedaran Mforce dan terus berkembang sebagai antara pemain penting dalam segmen motosikal moden dan berprestasi tinggi.