Lambretta Malaysia mengumumkan perancangan dan hala tuju besar bagi tahun 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen skuter premium di pasaran tempatan. Selepas kejayaan luar jangka sejak relaunch pada Julai 2024, jenama ikonik Itali ini bersedia melangkah ke fasa seterusnya dengan pelancaran model baharu, pengembangan rangkaian pengedar, merchandise eksklusif serta satu percubaan rekod ASEAN dan Asia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Sejak kembali ke Malaysia, Lambretta berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan penunggang – daripada urban commuters, lifestyle riders hinggalah kolektor. Model seperti G-Special dan X Series mencatatkan jualan memberangsangkan, jauh melepasi sasaran awal. Gabungan reka bentuk klasik Itali, teknologi moden dan imej premium menjadi faktor utama peningkatan permintaan ini.
Sehingga 5 Model Baharu Dijangka Dilancarkan
Bagi tahun 2026, Lambretta Malaysia dijangka memperkenalkan antara dua hingga lima model baharu. Model-model ini bakal menampilkan teknologi terkini, prestasi yang dipertingkat serta identiti retro-modern yang menjadi DNA Lambretta. Langkah ini bertujuan memenuhi keperluan penunggang yang semakin pelbagai dalam pasaran Malaysia.
Rangkaian Pengedar Diperluas ke 15–20 Lokasi
Selari dengan peningkatan jumlah pemilik, Lambretta Malaysia turut merancang pengembangan rangkaian pengedar secara agresif. Menjelang hujung 2026, sebanyak 15 hingga 20 lokasi disasarkan di seluruh negara, termasuk flagship showroom, pusat servis khusus dan pop-up experience. Antara negeri yang terlibat ialah Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan. Ini dijangka memudahkan akses kepada servis, alat ganti tulen dan sokongan selepas jualan.
Merchandise Rasmi Lambretta Dilancar
Bukan sekadar skuter, Lambretta turut memperluaskan gaya hidup jenamanya dengan pelancaran barisan merchandise rasmi. Koleksi ini merangkumi apparel, helmet, aksesori dan barangan lifestyle yang diinspirasikan daripada lebih 75 tahun warisan Lambretta. Ia bakal ditawarkan melalui saluran rasmi untuk peminat setia jenama ini.
Aktiviti Komuniti & Ride Rentas Negara
Komuniti “Lambrettista” juga menjadi fokus utama sepanjang 2026. Lambretta Malaysia merancang pelbagai aktiviti seperti group ride, bengkel teknikal, pertandingan custom scooter dan program ride rentas sempadan bersama negara ASEAN. Inisiatif ini bertujuan mengeratkan hubungan komuniti serta mempromosikan budaya tunggang yang selamat.
Percubaan Rekod ASEAN & Asia di Sepang
Kemuncak perancangan 2026 ialah percubaan mencipta rekod rasmi ASEAN dan Asia di Litar Antarabangsa Sepang pada 11 Januari 2026. Acara ini akan menghimpunkan ratusan pemilik Lambretta dalam satu perhimpunan mega, termasuk sesi track ride, pameran dan pelancaran Casa Lambretta Malaysia. Percubaan ini disasarkan untuk mencatatkan himpunan skuter Lambretta terbesar di rantau ini.
Dengan pelbagai inisiatif strategik yang dirancang, Lambretta Malaysia dilihat serius membina jenama jangka panjang yang bukan sahaja menjual produk, tetapi membentuk satu gaya hidup dan komuniti kukuh di Malaysia.